KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) Terengganu diingatkan tidak memikirkan mengenai jawatan Menteri Besar, sebaliknya fokus untuk mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata buat masa ini, tiada mana-mana pihak yang dicanang sebagai bakal Menteri Besar, sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri nanti.

"Menang tak lagi...biar menang DUN (Dewan Undangan Negeri) dulu, jangan angan-angan nak jadi Menteri Besar. Kita menang DUN dulu masing-masing, menang majoriti dulu," katanya selepas majlis penyerahan watikah kepada calon BN negeri itu, di Bangunan Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Sebelum ini, tersebar desas-desus mengenai poster boy atau calon Menteri Besar Terengganu dengan antara yang disebut ialah Ahmad yang juga calon DUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir), Datuk Rozi Mamat (Telemung) dan Datuk Seri Jailani Johari (Ajil).

Ahmad berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu, dan tiada arahan daripada kepimpinan pusat untuk menetapkan poster boy.

"Mengenai poster boy, saya tidak pernah tengok, dapat maklumat atau arahan pun setakat ini. Tak tahulah kalau ada orang lain kata ada poster boy buat masa ini. Saya cakap, sebab saya sendiri tidak pernah diberitahu oleh kepimpinan parti, ada senaraikan poster boy," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala tarikh penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Ogos.

-- BERNAMA