KUALA LUMPUR: Presiden penaja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan setiap transaksi dan perbelanjaan yang dibuat partinya untuk misi banjir sentiasa direkod dan diaudit.

Syed Saddiq menjelaskan pihaknya juga menyimpan semua resit dan senarai pembelian yang dibuat untuk membuktikan ketelusan kepada penyumbang dana misi banjir.

"Setiap transaksi dan urusniaga Muda untuk Misi Banjir ini sentiasa direkod dan akan melalui proses audit. Resit kami simpan, senarai pembelian semua kami ada.

"Muda is an open book. Saya serius dalam hal ini. Muda dah bantu mangsa banjir dari Hari Pertama," katanya ketika menjawab dakwaan yang dibuat bahawa beliau menyalahgunakan dana bantuan banjir.

BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Menerusi posting itu juga, Ahli Parlimen Muar itu mahu pihak yang memfitnah beliau menyalahgunakan dana bantuan banjir agar segera memohon maaf.

Syed Saddiq memberikan tempoh sehingga pukul 3 petang, 28 Disember kepada pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Nor Aniza (Oja) untuk membuat permohonan maaf tersebut.

"Kalau Nor Aniza nak persoal, boleh tanya dulu. Saya buka juga Command Centre Misi Banjir Muda di PJ dan mana-mana tempat MUDA turun ke lapangan untuk Nor Aniza tengok setiap urusan kami.

"Jadi, saya minta Nor Aniza untuk tarik semula posting fitnah dan buat permohonan maaf secara terbuka kepada saya dan Muda sebelum pukul 3 petang 28 Disember 2021.

"Jelas ini salah dan cuba untuk memburukkan usaha Muda kepada orang ramai," katanya lagi.


Namun, semakan Astro AWANI di Facebook individu tersebut mendapati posting yang dimaksudkan oleh Syed Saddiq telah dipadamkan.