Jangan heret Raja-Raja ke kancah politik - Presiden Pas

Astro Awani
Julai 5, 2021 03:27 MYT
Tindakan cuba membentuk jajaran baharu politik juga menyebabkan semua pihak diheret ke kancah politik termasuk Raja-Raja Melayu. - Gambar fail Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR : Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pihak pembangkang bermain politik dengan sengaja mengeret Raja-Raja Melayu ke kancah politik.
Abdul Hadi mendakwa, Raja-Raja Melayu diperlakukan sedemikian selepas Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat sokongan untuk mengambil alih kerajaan.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tindakan tersebut dibuat selepas pembangkang gagal meniru langkah Perikatan Nasional mengambil akuan sumpah (SD) Ahli Parlimen dan seterusnya cuba mengemukakan undi tidak percaya.
Dakwanya tindakan kumpulan berkenaan cuba membentuk jajaran baharu politik juga menyebabkan semua pihak diheret ke kancah politik termasuk Raja-Raja Melayu.
Sumber Facebook abdulhadiawang
Malah beliau turut menyifatkan sikap pembangkang itu sebagai wabak politiking dan gila kuasa.
"Raja-Raja Melayu sepatutnya tidak diheret berpolitiking kerana Baginda masih banyak tugas-tugas yang lebih penting daripada melayan kehendak mereka yang berpenyakit politiking itu.
"Ada pula mereka yang masih tidak sedar dirinya sudah jadi pembangkang dan bukan lagi kerajaan, dengan berlagak membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta," tegas Abdul Hadi dalam hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
Dalam masa sama, beliau mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama memberi tumpuan pada usaha mencegah penularan COVID-19.
"Sepatutnya pandemik COVID-19 ditangani dengan penuh penumpuan oleh semua pihak bagi menjaga nyawa seluruh rakyat yang tidak boleh ditangguhkan lagi.
"Bahkan wajib bertolong-menolong kerana wabak ini tidak mengenal siapa, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik," ujar beliau lagi.
Abdul Hadi turut berkata, segala aktiviti dan peranan politik seharusnya ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
"Adapun peranan politik boleh ditunggu sehinggalah PRU15 diadakan, rakyat pula jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali," kata Abdul Hadi lagi.
#Abdul Hadi Awang #Pakatan Harapan #PAS #Yang di-Pertuan Agong #undi tidak percaya #Parlimen #pilihan raya #pembangkang #pilihan raya umum