Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap semua pihak tidak melayan semua tuduhan dibuat ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia termasuk kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menggesa pengundi Pekan agar tidak lagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

"Apabila 'tiang gol' diubah-ubah, kita dekat Johor kata 'tak aci',di mana apa yang diramal sebelum ini kalau tidak menjadi, boleh ubah kepada sasaran yang lain.

"Ini tidak patut diteruskan sebegitu rupa atau tidak patut dilayan oleh pihak-pihak yang berkenaan kerana itu boleh menyentuh kepada polemik dan memecahbelahkan kita terutama dalam parti," katanya semasa sidang media selepas majlis pra-pelancaran Malaysian United Run oleh Institut Onn Jaafar di Kementerian Pertahanan Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, tuduhan dibuat Tun Dr Mahathir bukan perkara baru dan tidak sepatutnya diberi perhatian.

"Saya sudah beritahu dalam twitter saya hari itu bahawa kadang-kala mereka yang buat tuduhan kepada Perdana Menteri sering mengalih tiang gol, dan tuduhan-tuduhan ini berubah-ubah mengikut masa. Jadi, take it what it is worth tuduhan-tuduhan yang terkini oleh Tun Dr Mahathir," kata Hishammuddin.

Beliau bagaimanapun tidak melihat tuduhan Bekas Perdana Menteri itu sebagai satu pengkhianatan kepada parti keramat Melayu itu.

"Sama ada ia (tuduhan ) akan mengeruhkan parti, saya rasa tidak kerana sebelum ini macam-macam tuduhan dilemparkan kepada Perdana Menteri, namun parti tidak pecah juga," tambahnya.

Pada Sabtu lalu, Bekas Perdana Menteri didakwa meminta pengundi Pekan menghentikan sokongan kepada Najib yang juga Ahli Parlimen kawasan itu.

Berucap ketika menghadiri Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk 'Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa' anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan, Dr Mahathir menegaskan, matlamat untuk menjatuhkan Najib hanya akan berjaya jika ia dimulakan di peringkat kerusi Parlimen Pekan yang diwakili perdana menteri itu.