Pengusaha batik dan songket digesa untuk tidak meletakkan harga kedua-dua barangan tersebut semahal kereta Proton Saga sebaliknya ia perlu dipasarkan pada harga yang berpatutan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, saranan itu bagi merancakkan kembali industri batik dan songket di negara ini.

Katanya harga yang terlalu tinggi akan menyebabkan ramai di kalangan pembeli beralih arah kepada fabrik tiruan yang boleh didapati dengan harga yang lebih rendah.

"Jika saya sendiri pun kalau harga songkat atau batik sama dengan sebuah kereta Proton Saga, saya pun akan pilih yang lebih murah.

"Kita kena ingat sebab bukan semua orang mempunyai wang yang banyak untuk memiliki songket atau batik yang sebegitu mahal," katanya selepas sesi libat urus komuniti kraf daerah Besut di Desa Ukiran Kayu, di sini pada Ahad.

Sebelum ini pengusaha songket melahirkan kebimbangan terhadap lambakan songket tiruan di pasaran yang menyebabkan permintaan terhadap songket asli semakin berkurangan sekaligus menyebabkan ramai penenun mengalami kerugian.

Dalam pada itu, Mohamaddin menyarankan lebih banyak jabatan kerajaan menggunakan seni ukiran kraf tempatan terutama di bangunan-bangunan yang baharu dibina bagi membantu penggiat seni ukiran kayu tempatan yang sering berhadapan kesulitan mengembangkan perniagaan.

"Ini tidak bermaksud semua bangunan kerajaan kena ditukar pintu atau daun tingkapnya dengan ukiran kraf... hanya bangunan yang baharu sahaja... mungkin boleh mulakan dengan bangunan jabatan-jabatan di bawah kementerian saya bagi tujuan itu," katanya.