KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan untuk meletakkan router WiFi jauh daripada peranti elektronik lain seperti televisyen dan ketuhar gelombang mikro, untuk mengelakkan gangguan kepada capaian kualiti internet mereka.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TIME dotCOM Bhd Satesh Vasu berkata memandangkan WiFi dan kebanyakan peranti elektronik lain menggunakan teknologi frekuensi radio, maka pengeluaran isyarat yang banyak pada satu-satu masa menyebabkan peranti tidak dapat berhubung secara optimum.

"Radio frekuensi ini sama macam radio biasa, kita buka radio kita dapat signal transmission dari stesen television atau radio menerusi antena. Sama seperti teknologi walkie talkie, kadang-kadang isyarat tidak jelas, jadi kita laras frekuensi yang betul.

"Kebanyakan peranti yang kita pakai mengeluarkan radio frekuensi. Bila semua peranti ini mengeluarkan radio frekuensi, semua akan berlaga lalu membentuk interference dan bila terlalu banyak radio frekuensi, semua peranti tidak dapat berhubung dengan optimum, internet jadi perlahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Internet dan Anda terbitan Bernama dengan topik 'Kenapa Kelajuan Internet Anda Rendah' di Facebook, pada Rabu.

Selain itu, Satesh berkata jenis peranti yang digunakan untuk menyambung ke internet dengan router yang sesuai juga memainkan peranan penting supaya pengguna dapat menikmati kelajuan yang diinginkan setimpal dengan langganan mereka.

Beliau berkata kebiasaannya isyarat WiFi menggunakan frekuensi 2.4 gigahertz (GHz) atau 5GHz, namun sesetengah WiFi6e yang lebih baharu menggunakan frekuensi 6GHz.

"Biasanya peranti lama hanya menggunakan frekuensi 2.4GHz...tetapi menjadi masalah apabila banyak peranti lain yang pakai sekali gus akan jadi interference dan internet di peranti yang kita pakai jadi perlahan.

"Jadi kalau frekuensi 5GHz, sebab tidak banyak peranti yang pakai, ia akan lebih laju. Sebab itu kami galakkan bila pakai telefon pintar atau laptop untuk cuba menyambungkan dengan frekuensi 5GHz.

"Berkenaan WiFi ini kita kena faham apabila router 'bercakap' dengan peranti, ia tidak akan bercakap dengan semua peranti serentak tetapi ia akan bercakap dengan peranti satu per satu. Jadi kalau dalam rumah ada 50 peranti, kena bercakap satu-satu sehingga sampai kepada peranti yang kita ingin guna," katanya.

Justeru, beliau turut menyarankan pengguna untuk menggunakan router yang berkualiti serta restart router WiFi masing-masing untuk mengurangkan masalah gangguan capaian internet pada masa akan datang.

-- BERNAMA