KAPIT: "Jangan sesekali memperkecilkan usaha seorang guru, hargailah pengorbanan mereka sebagai penggerak anak bangsa".

Itu nasihat Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada masyarakat di Malaysia untuk terus memberikan sokongan terhadap guru-guru di seluruh negara.

Dilahir sebagai anak pedalaman dan membesar menjadi wakil rakyat, beliau meneruskan insentif pembangunan program pendidikan sebagai salah satu penghargaan kepada bakti guru dan ibu bapa di Parlimen Kapit.

"Kepada semua guru lebih-lebih lagi yang bertugas di pedalaman Sarawak termasuk kita di Kapit ini, saya ingin mengucapkan bersempena dengan sambutan Hari Guru ini, supaya mereka bersungguh-sungguh menggalas tugas sebagai pendidik, sebagai profesional.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi mereka sebab itu setiap tahun saya, dengan peruntukan yang ada, memberi sekurang-kurangnya RM10,000 kepada setiap sekolah rendah dan juga kepada sekolah menengah saya bagi RM20,000 untuk kegiatan PIBG mereka," katanya.

Selain insentif kepada pihak sekolah, bantuan permulaan daripada Ahli Parlimen Kapit juga layak diterima oleh pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).

Bukan sekadar meringankan beban, bantuan permulaan itu adalah tanda sokongan dan harapan kepada anak-anak Kapit untuk meneruskan pendidikan mereka sehingga ke menara gading.