Rakyat dinasihatkan menolak wakil rakyat yang hanya menempel wajah pada majlis-majlis perasmian dan menghentikan khidmat apabila musim kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berakhir.

Koordinator Pembangunan Persekutuan Taman Templer, Selangor, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata, ia diibarat pemimpin yang hanya menumpang populariti di atas jasa pihak lain dalam pembangunan sesuatu kawasan.

"Seperti di DUN Taman Templer, sejak tiga tahun lepas apabila kebanyakan masalah yang diselesaikan pihaknya, telah diambil nama oleh pihak lain.

"Saya masih ingat, ada satu surau yang telah siap dibina Barisan Nasional (BN) namun terbiar, dipenuhi sampah sarap, dan kami datang membersihkannya untuk digunakan penduduk setempat.

"Namun tiba-tiba, ada pihak datang konon-konon mengimarahkannya dan mengambil nama atas khidmat yang telah kami buat selama ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.


Jelasnya, perkara itu disamakan pemimpin yang mengambil mudah isu setempat dan seolah-olah datang ke mana-mana majlis cuma untuk memotong reben dan tidak mengiktiraf penat lelah jasa bakti orang lain.

Calon BN DUN Taman Templer itu turut memberitahu, seseorang wakil rakyat itu perlu tahu tanggungjawab yang diberi dan diamanahkan dan bukannya mengambilnya dengan sambil lewa dan tidak fokus yang kelak menyusahkan rakyat dan masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Kita ini hidup tidak lama. Jika kita diberikan tanggungjawab dan amanah, kita kena tunaikan, 'mesejnya kepada pengundi dan sesiapa yang bakal dipilih sebagai wakil rakyat pada PRU14 ini.

"Saya tidak pernah penat dan menyesal dengan apa yang saya telah lakukan untuk penduduk Taman Templer. Malah saya berbangga dapat berkenalan dan menjalin hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum.

“Mereka datang mengadu mengenai jambatan tidak siap, lif rosak, masalah surau, urusan kematian dan macam-macam lagi yang memerlukan pemerhatian dan tindakan serius. Kalau saya dan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional tidak buat, saya tidak tahu siapa lagi akan buat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, jika diberikan lagi banyak ruang dan peluang di DUN Templer yang mempunyai kira-kira 43,000 pengundi ini, banyak lagi boleh dilakukan demi kesejahteraan dan keharmonian masyarakat setempat.

“Saya lihat, DUN Templer ini memerlukan lebih banyak infrarakyat seperti perkhidmatan awam berprestasi tinggi, rumah mampu milik dan aktiviti keusahawanan yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi lebih tinggi untuk dimanfaat anak muda.

“Tidak dilupakan, sekolah rendah pelbagai jenis di sini juga memerlukan dana khas untuk pelbagai aktiviti sepanjang tahun. Inilah yang dinamakan ‘For A Better Templer’ ,” katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang itu.

Pada PRU13, Zaidy Abdul Talib dari PAS mendapat 24,667 undi menewaskan calon BN, Subahan Kamal dan calon Bebas, Roslan Basaruddin (495 undi).

Manakala pada PRU14 ini, DUN Taman Templer menyaksikan perebutan empat penjuru antara calon BN, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim; calon PKR, Muhd. Sany Hamzan; calon Pas, Zaidy Abdul Talib; calon PRM, Koh Swe Yong dan calon Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rajandran Batumalai.