KUALA LUMPUR: Tasik Cermin merupakan lokasi pelancongan tumpuan di Ipoh, menggamit ramai pencinta alam untuk menyaksikan sendiri keindahan panorama di kawasan itu.

Boleh dikatakan setiap minggu, ada sahaja pengunjung di sana dan keindahan tasik itu banyak dikongsikan di media sosial, menjadikannya semakin popular dari hari ke hari.

Begitupun, ada satu insiden kurang menyenangkan berlaku di tasik tersebut baru-baru ini.

Satu rakaman video seorang lelaki disyaki terjun ke Tasik Cermin menjadi tular di aplikasi TikTok sejak semalam.

Video berdurasi kira-kira 15 saat dimuat naik pemilik akaun bernama Syafiruzafiza tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen.

Bahkan, pemilik akaun tersebut turut berkongsikan satu lagi video menunjukkan lelaki itu yang sudah basah, terjun sekali lagi ke dalam tasik itu.

Lelaki yang terjun ke dalam tasik itu kelihatan seolah-olah sedang mandi, sedangkan orang lain tiada yang berbuat demikian.

Insiden itu menyebabkan ramai netizen tidak berpuas hati kerana tidak mustahil disebabkan tindakan itu, Tasik Cermin akan ditutup selepas ini.

“Kalau tiada benda untuk diselamatkan dalam tasik itu, janganlah terjun. Elok nanti tempat ini jadi menarik nanti tukar jadi berhantu pula,” komen salah seorang pengguna TikTok.

Seorang lagi pengguna bertanya mengapa lelaki itu berbuat demikian dan Syafiruzafiza menyatakan dia juga tidak tahu punca lelaki itu terjun ke dalam tasik berkenaan.

Setakat artikel ini ditulis, video tersebut sudah mendapat lebih 700,000 tontonan dengan lebih 700 komen.

Dalam pada itu, Kosmo melaporkan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan orang ramai tidak dibenarkan mandi di tasik tersebut.

Menurut laporan itu lagi, siasatan juga akan dilakukan bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku.