KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak menyentuh ubur-ubur yang ditemui ketika beriadah di pantai kerana dibimbangi ia daripada spesies berbahaya.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti dan mengesahkan spesies haiwan terbabit selepas beberapa gambar tular di Facebook.

"Kita tidak boleh mengesahkan (spesies ubur-ubur) tanpa sampel sebenar bagi mengenal pasti spesies berbahaya.

"Jadi, kita nasihatkan pengunjung-pengunjung pantai supaya tidak menyentuh ubur-ubur dan menjauhi kawasan ubur-ubur serta elakkan bermain air atau mandi-manda di kawasan berdekatan ubur-ubur tersebut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar ubur-ubur yang dikatakan berwarna biru oleh pengguna Facebook melalui page Kuantan dan Warga Kuantan 2.

Mereka memaklumkan penemuan ubur-ubur itu di beberapa pusat peranginan seperti Pantai Kempadang, Pantai Sepat, Pantai Cherating, Pantai Cempaka dan Pantai Lagenda.

Sinar Harian turut melakukan tinjauan di Pantai Sepat dan Pantai Kempadang, namun tidak menemui spesies haiwan seperti yang tular.

Ditanya mengenai spesies ubur-ubur yang dirakamkan pengguna Facebook, Abdullah memaklumkan ia mungkin spesies Physalia physalis (Portugese Man o’ War) dari kelas ‘Hydrozoa’.

Tegasnya, namun ia perlu diteliti sampel sebenar bagi mengesahkan kesahihan spesies terbabit.

"Kita kena elak kawasan itu. (Risiko) jika terdapat ubur-ubur yang berbahaya seperti ‘Hydrozoan jellyfish’ atau Portugese Man o’ War dan ‘Cubozoan jellyfish’ atau ‘Box jellyfish’.

"Spesies ini sengatannya sangat beracun yang boleh mendatangkan kesan kecederaan teruk atau sehingga kematian," jelasnya yang meminta segera ke klinik berdekatan sekiranya terkena sengatan. -Sinar Harian