IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin supaya jangan menyusahkan rakyat ketika mereka mempunyai kuasa.

Mengambil inspirasi lagu Tamil kegemarannya, Naan Aanaiyittal, yang dinyanyikan artis terkenal India, MG Ramachandran (MGR), beliau berkata, lagu itu mengajarnya agar tidak lupa tanggungjawab terhadap rakyat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemimpin supaya menggunakan kuasa yang ada untuk rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum.

"Tak apalah orang kadang-kadang dalam politik ni dia cerca kita, dia maki kita, ada dia kata tak Islam sangatlah, macam-macam... Itu tak mengapa. Yang penting negeri ini kita kena selamatkan.

"Bila saya sebut Malaysia kena selamatkan... untuk siapa? Untuk Melayu, untuk Cina, untuk India, untuk orang Dayak, untuk Kadazan, bukan untuk orang atas.

"Negeri ini kaya, hasil banyak, tetapi pasal apa orang kaya, kaya... orang miskin, ramai. Sebab wang yang ada kadang-kadang, kontraklah, projeklah, itu curi terlalu banyak, curi, curi, curi," ujar beliau.

Tegas Perdana Menteri, dengan sokongan daripada rakan-rakan kepimpinan, beliau akan menggunakan kuasa yang ada untuk menyelamatkan negara.

Menurutnya, walaupun mungkin ada pihak yang tidak lagi mahu bercakap mengenai perkara itu, beliau tidak peduli dan akan terus bercakap mengenainya.

Anwar juga menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak akan beroleh keuntungan jika termakan hasutan agar rakyat berbilang kaum di negara ini saling bertelagah dan bergaduh.

Perdana Menteri sebaliknya berkata, rakyat sendiri yang akan mendapat susah jika termakan hasutan pemimpin politik tertentu.

"Balik-balik dia nak suruh gaduh… Melayu suruh gaduh dengan Cina, Cina gaduh dengan India. Saya tegaskan, bila kita gaduh antara kita, antara kaum, siapa yang untung? Rakyat tak untung. Yang gaduh siapa? Orang bawah. Yang suruh gaduh siapa? Orang politik di atas," katanya.

Katanya, Malaysia mesti berubah daripada cara lama, jika tidak, ia akan menjadi masalah besar di masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, walaupun baru berusia sebulan setengah Kerajaan Perpaduan telah menampakkan kesepakatan.

Tambahnya, ia sekali gus mula menarik minat pelabur luar seperti dari China, India, Amerika Syarikat dan Eropah.

Beliau berucap pada Program Sambutan Hari Ponggal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Klebang, Chemor, Ipoh, pada Ahad.

Menurut Perdana Menteri, beliau turut meminta orang Melayu datang meraikan Pesta Ponggal kerana ia bukan upacara keagamaan.

Sebaliknya, jelas beliau, ia adalah pesta menuai yang dirayakan sebagai tanda syukur kerana mendapat hasil yang baik.

Kira-kira 1,000 orang dari pelbagai kaum menghadiri majlis pesta menuai itu yang diadakan setiap tahun sebagai tanda kesyukuran kerana mendapat hasil yang baik.