KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melakukan pembukaan semula sesi persekolahan secara berhati-hati dan tidak terburu-buru susulan kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi dalam negara.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pembukaan semula sekolah melibatkan soal keselamatan pelajar dan warga pendidik dan kesilapan lama perlu dielakkan.

"Perlu ingat pada 26 April 2021 Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 23,739 pelajar bawah umur 12 tahun telah dijangkiti COVID-19.

"Berdasarkan data itu Kementerian Kesihatan mengaku betapa mudah kes ditularkan di sekolah akibat pergaulan sedangkan dilaksanakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

"Pada ketika itu kes jangkitan harian di seluruh negara cuma sekitar 2,000 lebih dan hari ini jangkitan harian lebih 18,000 kes dan masih belum menunjukkan penurunan," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keputusan dan langkah seterusnya untuk pelajar memulakan sesi persekolahan pada Oktober perlu tepat dan betul.

"Terlalu banyak perkara perlu diperhalusi secara mendalam kerana rata-rata murid sekolah masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Meskipun SOP akan lebih diperketat, tetapi sejauh mana ia benar-benar berkesan dalam melindungi murid, perlu jadi keutamaan.

"Saya fikir tiada ibu bapa atau penjaga yang sanggup meletakkan anak mereka pada risiko kesihatan, jika SOP kurang meyakinkan mungkin ramai enggan menghantar anak ke sekolah," ujarnya.