PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa pengerusi suruhanjaya itu tidak pernah menghantar e-mel kepada orang awam untuk membantu memindahkan hadiah kemenangan wang tunai daripada sebuah syarikat telekomunikasi.

MCMC menerusi kenyataan hari ini berkata e-mel berkenaan menawarkan bantuan untuk memindahkan hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM270,000 daripada syarikat Telekom Malaysia kepada akaun bank individu penerima emel tersebut.

"Sehubungan itu, orang awam diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan e-mel yang tidak ditentukan kesahihannya," menurut kenyataan itu.

MCMC turut menasihatkan orang ramai untuk mengelak daripada memberi butiran peribadi seperti maklumat perbankan Internet dan maklumat kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali.

Suruhanjaya itu turut menggesa orang ramai supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, sekiranya mereka telah membuat transaksi perbankan kepada mana-mana akaun yang dikatakan untuk tujuan yuran pemprosesan sebelum hadiah kemenangan itu boleh dituntut.

-- BERNAMA