SHAH ALAM : Perdana Menteri membuat teguran secara terbuka kepada semua pihak yang bertanggungjawab termasuk jabatan dan agensi kerajaan supaya bertindak proaktif menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengambil masa lama.

Menurutnya, kebanyakan masalah boleh diselesaikan dengan segera, namun kadangkala mengambil masa sehingga sampai masa kawasan itu dijadualkan dilawati oleh orang kenamaan.

"Ini... mula cat kalau ada Perdana Menteri melawat... ada banyak tempat yang begini.

"Bila tahu Perdana Menteri nak melawat, jalan pun mula dibaiki dalam 24 jam... cat pun cepat bersih semuanya... maknanya boleh buat, tak payah tunggu Perdana Menteri melawat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kita Untuk Kita di PPR Kampung Baru Hicom di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu dan permasalahan golongan miskin bandar terutamanya di kawasan PPR.

Selain itu, beliau juga turut mengambil contoh isu kerosakan lif di kawasan PPR yang menjejaskan kehidupan penduduk sekali gus memaksa mereka menggunakan tangga.

"Kita dah bagi peruntukan untuk perbaiki di sesetengah tempat... kebiasaannya lif-lif di rumah flet di tingkat 10 misalnya... bila rosak kenalah naik tangga.

"Nak baiki, masalah dia ada proses yang panjang... jadi saya minta perkara seperti ini dipercepatkan dan diluluskan.

"Kita akan bincang dengan penduduk apa yang jadi keutamaan," katanya lagi.

Anwar Ibrahim pada Sabtu mengumumkan tambahan peruntukan RM35 juta bagi memperkasa komuniti PPR di sekitar Lembah Klang.

Dana tambahan berkenaan juga meliputi kos penyelenggaraan bagi kawasan yang memerlukan.