PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan permohonan variasi daripada Solution Biologics Sdn Bhd berhubung pengemaskinian tempoh jangka hayat produk bagi vaksin COVID-19 Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Norhaliza A Halim berkata tempoh jangka hayat baharu yang diluluskan adalah daripada 15 bulan kepada 18 bulan apabila disimpan pada suhu 2 sehingga 8 darjah Celsius.  

Beliau berkata pelanjutan jangka hayat itu melibatkan vaksin MAL21066050AZ yang dikilang di CanSino Biologics Inc, China dan MAL22126013ASZ yang dikilang di Solution Biologics Sdn Bhd, Malaysia.

"Pelanjutan tempoh jangka hayat produk telah diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.

"Kelulusan pelanjutan jangka hayat ini adalah secara retrospektif, bermaksud kelulusan ini juga terpakai kepada semua stok termasuk semua stok yang telah diterima sebelum variasi pelanjutan tempoh jangka hayat ini diluluskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhaliza berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan di Malaysia telah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA.

-- BERNAMA