Indonesia mencatatkan 4,071 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kini meningkat kepada 252,923.

Berdasarkan data yang disiarkan dalam laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 109,721 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini, sebanyak 160 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 9,837 orang.

Provinsi Jakarta, yang kembali dikuatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula 14 Sept lepas, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 64,554 kes, dengan tambahan 1,236 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,015 orang, diikuti Jakarta (1,600), Jawa Tengah (1,314) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA