Jangkitan COVID-19: Premis dengan pendingin hawa tidak berpusat lebih berisiko - Pakar

Hafizi Rosli
Jun 9, 2021 04:38 MYT
Premis tertutup dengan pendingin hawa tidak berpusat lebih berisiko membawa jangkitan COVID-19 kerana udara yang berada di dalam premis itu dikitar semula tanpa pengaliran keluar. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Premis tertutup dengan pendingin hawa tidak berpusat lebih berisiko membawa jangkitan COVID-19 kerana udara yang berada di dalam premis itu dikitar semula tanpa pengaliran keluar.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir, sekiranya ada hembusan titisan cecair oleh mereka yang dijangkiti, ia akan kekal berada dalam ruang itu.
"Bagi pejabat atau ruang tertutup yang tiada 'centralized aircond' seperti unit yang dipasang di dinding, udara tidak mengalir keluar dan ia akan dikitar dalam ruang itu sahaja.
"Bila seseorang individu yang dijangkiti COVID-19 mengeluarkan hembusan melalui percakapan, batuk dan sebagainya, virus itu akan kekal berada dalam ruang itu," jelas Mohd Shahrul dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Jelasnya, dalam situasi demikian, langkah terbaik boleh dilakukan adalah membuka tingkap untuk memastikan peredaran udara sedia ada dengan udara segar dari luar.
Tambahnya, bagi premis yang tiada akses untuk membuka tingkap, satu alternatif adalah dengan menggunakan pembersih udara.
"Bagi premis yang tidak boleh membuka tingkap, penggunaan pembersih udara boleh dijadikan alternatif. Ia dapat kurangkan habuk dan bakteria dalam ruang tersebut.
"Walaupun tidak berkesan 100 peratus terhadap jangkitan COVID-19, ia berupaya mengurangkan zarah-zarah dalam sesuatu ruang itu.
Bagi Ketua Program Mikribiologi Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Dr Norefrina Shafinaz Md Nor, terdapat beberapa kriteria pembersih udara yang perlu diteliti pengguna.
"Pengguna perlu pastikan pembersih udara yang sesuai dengan kapasiti ruang, pembersih udara yang boleh memerangkap partikel bersaiz nano.
"Berdasarkan kajian kami, keberkesanannya bergantung kepada kedudukan diletakkan pembersih udara itu, lagi tinggi ia diletakkan, lebih efektif," katanya.
Ini kerana jelasnya, seseorang individu itu boleh menyedut udara tercemar sekiranya pembersih udara itu diletakkan di paras bawah kerana ia menyedut udara dari bawah dan melepaskan di bahagian atas.
Jelas Dr Norefrina Shafinaz, titisan aerosol yang terbentuk mempunyai sifat cepat kering dan ia memudahkannya bergerak terapung mengikut udara.
"Aerosol kita boleh sedut ketika bernafas dan ia sangat kecil serta risiko penularannya lebih lama sehingga berjam-jam.
"Namun pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap membersih tangan mampu mengawal penularan jangkitan ini," jelasnya.
AWANI Pagi: Transmisi virus Corona melalui udara?
#COVID-19 #jangkitan #pendingin hawa #pembersih udara #Mohd Shahrul Mohd Nadzir #Norefrina Shafinaz Md Nor