TANJUNG MALIM: Janin bayi yang masih bertali pusat ditemukan di tempat penapisan sampah loji kumbahan di Kota Malim Prima di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata janin yang tidak dapat dikenal pasti jantina itu dijumpai oleh pekerja yang melakukan kerja pembersihan sistem penapisan loji kumbahan itu yang memaklumkan kepada polis kira-kira pukul 11 pagi.

"Tempat kejadian merupakan kawasan loji kumbahan air berkeluasan kira-kira 0.4 hektar dalam keadaan berpagar dan berkunci," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis iftar di Balai Polis Tanjung Malim di sini hari ini.

Beliau berkata janin bayi itu dipercayai dibuang melalui lubang tandas dan masuk ke saluran sisa kumbahan yang berpunca dari beberapa taman perumahan dan kawasan perindustrian Kota Malim Prima.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mayat janin bayi berukuran kira-kira sembilan sentimeter dengan berat 130 gram itu tidak cukup sifat, tidak berjantina dan masih bertali pusat serta disyaki telah meninggal dunia lebih 24 jam.

Mior Faridalathrash berkata polis telah merakam percakapan saksi pertama iaitu Pegawai Eksekutif Indah Water yang tiba di lokasi untuk membuat semakan sistem kumbahan kerana terdapat aduan tersumbat.

"Mayat janin telah dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengesan saksi-saksi," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang bayi.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Ketua Polis Daerah Muallim daripada Sulizmie Affendy Sulaiman yang memangku pangkat ACP kepada Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Koo Tai Chew yang akan memangku jawatan itu selepas Sulizmie Affendy dinaikkan pangkat dan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sulizmie Affendy memegang jawatan Ketua Polis Daerah Muallim sejak 2 Mac 2020 dan bertukar jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

-- BERNAMA