KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat beberapa ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di sini, Putrajaya dan Labuan, termasuk penjarakan fizikal antara jemaah dikurangkan daripada 1.5 meter kepada satu meter.

Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan berkenaan berkuat kuasa bermula waktu Maghrib hari ini dan perkara berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohd Ajib berkata selain itu, kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas serta warganegara asing yang mendapat vaksin lengkap turut dibenarkan menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

"Dibenarkan kepada murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.

"Dibenarkan majlis sosial seperti kenduri, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis aqiqah serta lain-lain majlis sosial untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua kebenaran berkenaan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan," tambahnya.

-- BERNAMA