GABRIEL Jesus menjaringkan gol tunggal ketika Manchester City mengatasi Chelsea 1-0 di Stamford Bridge untuk berkongsi mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

City tewas tiga kali kepada Chelsea dalam tempoh enam minggu pada penghujung musim lalu, termasuk final Liga Juara-Juara (UCL), tetapi Pep Guardiola akhirnya berjaya menemui jalan untuk mengatasi Thomas Tuchel dalam perlawanan malam tadi.

Selepas mendominasi separuh masa pertama tanpa berpeluang untuk menguji penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy, pelawat akhirnya membuka jaringan lapan minit selepas bermulanya separuh masa kedua menerusi percubaan Jesus.

Ia menghidupkan suasana perlawanan namun City gagal melunaskan dua peluang terhidang serta jaringan Romelu Lukaku dibatalkan, namun gol yang disumbang Jesus bertindak sebagai pemisah apabila memberikan kekalahan pertama buat juara Eropah, Chelsea.