BUKIT MERTAJAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan sebuah kilang haram yang menjalankan kegiatan memproses sisa peleraian elektrik dan elektronik di Juru, di sini, ditutup serta-merta dan dikompaun RM30,000 kerana beroperasi tanpa kebenaran serta lesen.

Pengarah JAS Pulau Pinang Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata menerusi operasi bersepadu pihaknya bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada Isnin, kilang itu didapati menjalankan peleraian buangan elektrik dan elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemeriksaan pada 10 pagi mendapati kilang itu beroperasi tanpa apa-apa kebenaran atau lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan lesen daripada JAS di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Berikutan itu, arahan menghentikan operasi serta-merta dan kompaun sebanyak RM30,000 dikeluarkan kepada kilang itu kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sharifah Zakiah berkata siasatan lanjut dijalankan terhadap pemilik kilang itu dan pihaknya memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan dan perundangan serta memberi amaran agar tidak melupuskan barangan terjadual dengan sewenang-wenangnya di tempat yang tidak sepatutnya.

-- BERNAMA