PADANG SERAI : Jasad mendiang M Karupaiya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada Rabu akan dibawa ke Krematorium Berapit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang ini.

Anak perempuan mendiang,  K Dippah  ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis memberitahu, sebelum dibawa ke pusat pembakaran itu, upacara sembayang akan dijalankan antara pukul 12 tengah hari dan 2 petang di kediaman beliau di Lunas, di sini.

Calon PKR bagi Parlimen P 017 Padang Serai itu meninggalkan isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Karupaiya dilaporkan dimasukkan ke Hospital Kulim, di sini pada awal pagi Isnin selepas mengadu sakit perut.

BACA: PRU15: Calon PKR Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

Laporan sijil kematian menunjukkan mendiang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Anak lelaki mendiang, K Sataisilan sebelum ini turut mengesahkan mendiang bapanya pernah mengalami masalah jantung dan dirujuk ke Institut Jantung Negara untuk rawatan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan persaingan enam penjuru dengan calon dari Barisan Nasional, Datuk Sivaraj Chandran, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK dari bebas.

Dalam PRU14, Karupaiya menang dengan majoriti 8,813 undi.