BERA: Seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di Kilometer 29, Jalan Temerloh-Bahau, di Kerayong di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 10.45 pagi itu, mangsa, Maidin @ Ariffin Jasin, 80 yang membonceng motosikal bersama rakannya mengalami kecederaan parah, dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat digilis lori.

Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Mansor Samsudin berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama rakannya, Zainal Abidin Zainan, 74, dalam perjalanan dari Felda Lui Timur ke Kerayong.

"Motosikal itu membelok ke kanan untuk ke stesen minyak berdekatan. Tapi semasa membelok, telah melanggar lampu isyarat sebelah kiri lori menyebabkan mereka terjatuh.

"Namun, pembonceng telah jatuh di sebelah kanan jalan menyebabkan mangsa digilis tayar lori tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mansor, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk dibedah siasat manakala penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan saksi bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.