KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat (Pusat, Negeri dan Daerah) telah diaktifkan dan tahap kesiapsiagaan sentiasa ditambahbaik bagi menghadapi bencana yang sedang dan bakal berlaku, terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan memaklumkan, ini termasuklah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dilengkapi dengan keperluan asas untuk mangsa terbabit.

"Saya meminta semua Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memastikan segala aset pengoperasian adalah mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

"Bagi mangsa yang memerlukan bantuan kecemasan diminta terus menghubungi talian 999 untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

DAPATKAN LIPUTAN KOMPREHENSIF BERHUBUNG BENCANA BANJIR DI SINI



"Saya menyeru semua penduduk yang berada di kawasan terdedah kepada banjir untuk patuh kepada arahan pihak berkuasa dan berpindah awal sebelum keadaan menjadi bertambah buruk sesuai dengan amaran hujan berterusan peringkat bahaya oleh METMalaysia," katanya pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menasihatkan ketua keluarga agar sentiasa memantau pergerakan keluarga di kawasan banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada 19 Disember telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan peringkat bahaya di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan peringkat buruk di negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.