Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan khabar angin beliau akan keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang ditemui ketika menghadiri program lawatan projek Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sekitar Kempas mendakwa tidak pernah terlintas untuk menyertai mana-mana parti selain UMNO.

Nur Jazlan mendakwa, UMNO sudah cukup sebati dalam jiwanya memandangkan parti itu diwarisi daripada bapanya, Tan Sri Mohamed Rahmat yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO.

Malah, beliau sendiri mengaku terkejut dengan khabar angin tersebut yang dipercayai dilakukan oleh penulis blog pro kerajaan.

“Kalau saya kritik UMNO itu biasalah sebab saya rasakan UMNO juga perlu perubahan, biar selari dengan hasrat pemimpin-pemimpin lama yang menghidupkan UMNO baharu ni.

“Saya pun nak masuk pembangkang nak buat apa? UMNO dan BN sekurang-kurangnya ada misi,” katanya.

Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas laporan beberapa laman sosial yang mendakwa beliau akan menyertai PKR pada Isnin.

Maklumat yang tersebar di media sosial itu turut mendakwa Nur Jazlan akan dinamakan sebagai Naib Presiden parti tersebut.

Spekulasi timbul selepas beberapa blogger dilaporkan tidak berpuas hati apabila beliau berkongsi pentas dengan bekas pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga di forum “Freedom of Expression Under Threat” baru-baru ini.

Nur Jazlan percaya, tindakan individu yang menyebarkan khabar angin itu kurang senang dengan tindakannya yang lantang menyuarakan kelemahan yang berlaku dalam UMNO.

Katanya, setiap kritikan yang dilakukan berniat baik demi masa depan UMNO sendiri.