KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji dalam kategori B40 dan M40 dikenal pasti melalui senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), manakala bagi kumpulan T20 adalah berdasarkan pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan dan bukan pendapatan isi rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata Lembaga Tabung Haji (TH) telah bekerjasama dengan kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data sedia ada berkaitan pendapatan jemaah yang terpilih.

"Bagi musim haji 1444H/2023M, sebanyak 45.7 peratus yang terpilih terdiri daripada jemaah haji kumpulan B40, 52.3 peratus pula adalah jemaah haji kumpulan M40 dan dua peratus lagi adalah kumpulan T20," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu kriteria digunakan untuk mengklasifikasikan golongan B40, M40 dan T20 dalam menentukan mereka yang menerima tawaran untuk mengerjakan haji tahun 1444 Hijrah.

Bagi penambahan kuota haji, Mohd Na'im berkata Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Arab Saudi dan kini menunggu keputusan rayuan itu.

-- BERNAMA