KUALA LUMPUR: Imam dua Surau Al-Hidayah Taman Bukit Kajang di Kajang maut manakala seorang lagi jemaah cedera dilanggar kereta yang dipandu imam satu surau itu pada awal pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, imam satu surau tersebut berusia 76 tahun, yang baru selesai menunaikan solat Subuh mengundurkan kenderaan dari lot parkir perkarangan surau.

Katanya, dia bagaimanapun terlanggar bahagian belakang kenderaan lain akibat hilang kawalan.

“Pemandu panik lalu menggerakkan kenderaan ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang sedang berada di pekarangan surau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran itu, imam dua,  Hatim Arshad, 78, yang merupakan seorang pesara guru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Muhammad, 76, patah lutut kanan serta pergelangan kaki kiri dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

Menurut Azman, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.