KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar, walaupun kos ibadat itu naik kepada RM30,850, berbanding RM28,632 tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ia melibatkan RM400 juta bagi menampung sebahagian daripada kos jemaah haji kumpulan B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu.

Jelas beliau, bayaran haji jemaah muassasah kumpulan B40 kekal seperti kadar tahun lalu, iaitu RM10,980 setelah kerajaan bersetuju menanggung kenaikan kadar bayaran berjumlah RM1,000 bagi kategori berkenaan.

Bagaimanapun, bagi jemaah Muassasah dalam kumpulan T20, Amrin berkata mereka yang berpendapatan lebih RM15,000 sebulan akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu RM30,850 seorang.

"Kumpulan B40 masih menerima Bantuan Kewangan Haji sejumlah RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada Kos Haji yang melibatkan bantuan sekitar RM220 juta.

"Bayaran Haji jemaah Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan haji meningkat RM3,000 kepada RM15,980 seorang. 

"Mereka masih menikmati Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada kos menunaikan haji tahun ini.

"Justeru, jumlah bantuan kepada kumpulan M40 dijangka mencecah RM180 juta," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata mereka yang merayu di luar giliran untuk menunaikan haji secara muassasah perlu membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850 seorang, melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah atau rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang telah terpilih menunaikan haji.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan atas faktor-faktor di luar kawalan Tabung Haji.

Ia seperti kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 15 peratus, pengenalan caj dan percukaian baharu di Arab Saudi, kos pascawabak COVID-19 serta pembangunan di Mekah dan Madinah yang memberi tekanan kepada kadar sewaan bangunan penginapan.

"Tedapat juga peningkatan kos yang ketara termasuk kos penginapan, makanan, pengangkutan serta perkhidmatan di Tanah Suci.

"Bantuan Kewangan Haji bersasar akan dapat mengurangkan beban kewangan Tabung Haji agar dapat mencapai matlamat utamanya menyediakan kemudahan bagi umat Islam di negara ini menyimpan wang untuk tujuan mengerjakan ibadah haji, di samping menyediakan kemudahan dan perkhidmatan demi kebajikan jemaah haji," ujarnya.