SEREMBAN: Kes jenayah komersial di Negeri Sembilan meningkat 6.87 peratus dengan 839 kes direkodkan sejak Januari hingga Mei tahun ini berbanding 785 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata daripada 839 kes itu, seramai 383 individu ditahan dan 249 daripadanya dituduh di mahkamah berbanding 370 individu ditahan dan 188 dituduh tahun lepas.

Beliau berkata kes jenayah membabitkan pembelian dalam talian mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 189 kes, pinjaman tidak wujud (66), skim pelaburan (51), tipu tawaran kerja (35), Macau Scam (24) dan Love Scam (18).

"Modus operandi digunakan mereka (penjenayah) adalah dengan menggunakan nombor tidak dikenali dan menyamar sebagai pihak berkuasa selain mangsa dikatakan terlibat dengan jenayah termasuk dadah dan pengubahan wang haram.

"Mereka bukan sahaja menyasarkan rakyat biasa, malah individu yang mempunyai status dan berpendidikan tinggi," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Justeru beliau berkata polis sentiasa melaksanakan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan sekali gus membendung jenayah berkenaan.

Sementara itu, Ruslan berkata polis akan memperketat rondaan di Jalan Temiang-Pantai atau terkenal dengan julukan 'New Zealand Malaysia' bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya memandangkan laluan berkenaan menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk bergambar.

Beliau berkata sejak jalan tersebut dibuka pada Ogos lepas, sebanyak 115 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk berhenti di bahu jalan.

"Kita sentiasa melaksanakan Op Nasihat di kawasan itu namun masih terdapat pengguna yang degil," katanya.

Ruslan dalam pada itu mengingatkan penyokong supaya tidak membawa barang larangan ke stadium bagi mengelak kejadian tidak diingini menjelang perlawanan bola sepak antara Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang ingkar dan menimbulkan kekecohan ketika perlawanan terbabit.

-- BERNAMA