KUALA LUMPUR: Eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak di Malaysia semakin membimbangkan apabila sebanyak 106,764 alamat Protokol Internet (IP) berdaftar di negara ini dikesan membuat perkongsian kandungan lucah membabitkan golongan itu sejak 2017 hingga Ogos lalu.

Biarpun pelbagai pendekatan kerajaan terutama menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak namun apa yang lebih penting adalah peranan ibu bapa dan keluarga di rumah.

BACA: 400 laman sesawang pedofilia, pornografi kanak-kanak disekat sehingga Ogos

Pakar psikologi Kanak-kanak, Universiti SEGi, Prof Datin Mariani Md Noor berkata, ibu bapa perlu lebih pintar dalam menangani isu yang membabitkan penggunaan gajet memandangkan ia adalah keperluan pada masa kini.

"Apa yang dibimbangi ialah daripada pencarian perkataan-perkataan yang berkaitan dengan pendidikan, mereka terjebak dengan penggunaan kata kunci lain yang membawa kepada perkara negatif.

"Gajet satu keperluan tetapi dalam masa yang sama ibu bapa perlu menyedari bahawa penggunaan yang berlebihan dan tidak dapat dikawal itu boleh membawa kepada perkara-perkara yang akan memberikan impak yang begitu negatif kepada kanak-kanak itu sendiri pada masa depan.

"Kita kena sedar kadang kala anak-anak bukan saja boleh mendapat informasi daripada guru-guru, kawan-kawan dan ibu bapanya tetapi juga banyak laman sesawang yang boleh dilayari dengan mudah melalui telefon pintar," katanya ketika muncul sebagai dalam Buletin AWANI, pada Rabu.

Jelasnya, pihak berkuasa dan penyedia platform atau telco boleh menjalankan penguatkuasaan namun pendidikan di peringkat awal tidak boleh dipandang ringan.

"Kanak-kanak perlu difahamkan tentang jenayah seksual dan pendidikan seksual tidak boleh dianggap taboo. Mereka harus diberi pendedahan tentang pendidikan seksual.

"Kerana itu dalam sistem pendidikan kita, memang ada pendidikan seksual, tahap seterusnya adalah pendidikan itu harus dilakukan sebaik mungkin, jangan ada yang malu untuk memperkatakannya hal sebenar," katanya lagi.