SERDANG: Kadar jenayah seksual melibatkan pelajar sekolah dilihat mencatat kenaikan agak tinggi di Selangor bagi tempoh empat bulan tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 155 kes jenayah seksual melibatkan pelajar sekolah menengah direkodkan sepanjang Januari hingga April tahun ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati sebanyak 33 suspek adalah pelajar sekolah menengah.

"Jumlah dan trend yang direkodkan ini amat membimbangkan kerana ia mencatat peningkatan agak mendadak berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

"Meskipun kebanyakan kes jenayah seksual ini dilakukan kerana suka sama suka antara suspek dan mangsa, namun ia diklasifikasikan sebagai jenayah kerana ia melibatkan remaja di bawah umur.

"Lebih membimbangkan, ada pelajar wanita berusia 12 atau 13 tahun telah menjadi mangsa jenayah seksual ini," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan dewan serbaguna Balai Polis Seri Kembangan yang siap pada 13 julai 2022.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dan Pengarah Pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) Corporation Sdn Bhd, Noor Saidi Muda.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, antara faktor yang dikenal pasti mendorong peningkatan kes jenayah seksual dalam kalangan pelajar kerana perasaan suka sama suka, selain pengaruh bahan-bahan lucah di platform media sosial.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan apabila pertemuan singkat di dalam media sosial telah mendorong suspek dan mangsa untuk bersetuju mengadakan hubungan seksual.

Jelasnya, selain menjadikan rumah sendiri sebagai lokasi melakukan maksiat, perbuatan mungkar itu turut dilakukan di dalam kereta, rumah suspek, tempat kerja serta tandas awam.

"Meskipun pelbagai usaha dijalankan untuk memberi kesedaran, namun tugas utama daripada ibu bapa memantau aktiviti harian anak-anak adalah sangat penting.

"Komitmen daripada ibu bapa amat diperlukan supaya jenayah seksual dalam kalangan pelajar dapat ditangani dan mengelak remaja daripada berhadapan masa depan yang gelap," katanya. -Sinar Harian