KUALA KANGSAR : Jenazah lima beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan – Segamat di Pahang selamat dikebumikan dalam satu liang lahad atas permintaan keluarga.

Kesemua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini pada jam 10.15 malam.

Terdahulu jenazah tiba di kediaman keluarga di Kampung Labu Kubong dibawa menaiki tiga van diiringi dua kereta peronda polis (MPV) kira-kira jam 8.25 malam.

Kelima-lima jenazah kemudian disembahyangkan para jemaah yang terdiri daripada kalangan keluarga dan kenalan dengan suasana hiba.

Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman keluarga.

Mangsa maut adalah Muhammad Rosli Ibrahim, 33 tahun; isterinya, Nur Afiqah Abdullah Sani, 35; serta tiga anak iaitu Nur Safwa Irdina, 7; Nur Sofea Raida, 6; dan seorang bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun dua bulan.

Dalam kejadian tragis kira-kira jam 3 petang semalam itu, lima beranak maut selepas terbabit dalam kemalangan di di Jalan Kuantan - Segamat dekat Kampung Pulau Manis, Kuantan.

BACA: Lima beranak maut: Adik sekeluarga 'hilang' sekelip mata - Kakak

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler.

Lima beranak itu dikatakan ke Kuantan untuk urusan berkaitan pungutan hasil tanah.