KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan nama syarikat yang hampir sama untuk mengelirukan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan bank.

Mohd Hazem yang merupakan saksi ke-10 berkata demikian ketika menjawab soalan  peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menjawab soalan Muhammad Shafee bahawa modus operandi Jho Low adalah menggunakan nama syarikat yang hampir sama dan hanya menambah perkataan Limited, Mohd Hazem secara ringkas menjawab 'Ya'.

Saksi pendakwaan itu turut bersetuju bahawa penjanjian yang ditandatangi 1MDB Energy Limited pada 18 Mei 2012 bersama Aabar Investment PJS  Limited Aabar British Virgin Island (Aabar BVI) adalah Syarikat Aabar yang palsu.

Muhammad Shafee: Setuju jika dikatakan sebahagian besar Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tidak menyedari bahawa ia adalah Syarikat Aabar yang palsu?

Mohd Hazem: Ya, setuju.

Muhammad Shafee: Disebabkan perjanjian ini 1MDB Energy perlu memindahkan sejumlah AS$233 juta (RM985 juta) kepada Aabar BVI dan bukan Aabar Seychelles.

Mohd Hazem: Ya

Muhammad Shafee: Namun demikian, wang tersebut masuk ke dalam akaun Aabar Seychelles, betul?

Mohd Hazem: Ya

Muhammad Shafee: Setuju bahawa tiada sebarang dokumen daripada Aabar BVI yang memberi kebenaran kepada 1MDB Energy untuk memindakan wang berkenaan kepada Aabar Seychelles?

Mohd Hazem: Ya

Muhammad Shafee: Saya katakan kepada anda bahawa Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan Pengarah Eksekutif Kewangan, Terrence Geh mempunyai pengetahuan bahawa AS$233 juta (RM985 juta) dipindahkan ke Aabar Seychelles.

Mohd Hazem: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Anda, Azmi dan Terrence memilih untuk tidak memberitahu Deutsche Bank bahawa Aabar Seychelles adalah penerima dana berkenaan dan bukannya Aabar BVI. Dengan ini, anda bersama dua individu yang lain memberi gambaran yang salah kepada pihak bank.

Mohd Hazem: Saya tidak bersetuju.

Dalam pada itu, Mohd Hazem juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa ketiga-tiga mereka dengan sengaja menyembunyikan fakta penting itu untuk menyeleweng dana berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pada satu tarikh yang belum diputuskan lagi setakat ini. 

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.