Hanya akan pegang jawatan presiden untuk sepenggal sahaja, itulah hasrat Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya dipilih menerajui parti tertua orang Melayu itu.

Beliau juga berjanji akan berusaha mengangkat kembali martabat UMNO yang kini berada dalam keadaan teruk susulan kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sekiranya terpilih sebagai Presiden UMNO, beliau akan menggunakan tempoh tiga tahun pertama itu untuk memulihkan imej parti sebelum berundur bagi memberi laluan kepada golongan muda untuk memimpin.

"Kalau kita tengok sambutannya baik, mungkin dalam tiga tahun kita boleh buat mengikut rancangan kita.

"Bukan rancangan itu menepati tiga tahun, barangkali lebih awal, boleh jadi memakan masa lebih panjang, tetapi saya nak tawar diri untuk satu penggal sahaja, tiga tahun.

"Saya harap orang muda pula ambil alih (kemudiannya)," katanya kepada pemberita selepas jamuan sempena Hari Raya Aidilftri bersama perwakilan UMNO Kelantan di sini, malam tadi.

Tengku Razaleigh atau Ku Li akan bertanding untuk jawatan Presiden UMNO pada pemilihan 30 Jun ini, berdepan empat lagi pesaing termasuk Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.

Dua lagi calon ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

BACA: 'Sekiranya saya dipilih jadi Presiden UMNO ...' - Khairy

BACA: Tengku Razaleigh tawar diri bertanding Presiden UMNO

BACA: 'Ahmad Zahid calon paling layak Presiden UMNO'


Ku Li juga berkata, UMNO berdepan cabaran sukar untuk memulihkan imejnya kerana ia dilihat sebagai sebuah parti elit yang sombong dan jauh daripada rakyat.

Justeru, katanya, bagi mengembalikan sokongan rakyat, parti itu perlu kembali kepada teras perjuangannya yang asal.

"Dari segi teras perjuangan, untuk menghasilkan harapan itu, kita kena baiki diri kita. Orang tuduh kita sombong, kita susah nak dihubungi, kita terlampau elitis.

"Sudah nampak berjauhan dari orang ramai, bererti kita terpisah dari golongan marhaen, golongan berpendapatan rendah dan sebagainya. Inilah bayangan disuarakan sesetengah pihak," tambahnya.

BACA: Ku Li, KJ sah berdebat di Astro AWANI 29 Jun ini

BACA: Zahid setuju debat Presiden UMNO di Astro AWANI 29 Jun ini

BACA: Hanya tiga daripada tujuh calon Presiden UMNO yang benar-benar layak