KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Malaysia akan kekal sebagai negara kleptokrasi sekiranya orang Melayu dan Bumiputera terus menyatakan sokongan kepada parti UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan, ini adalah kerana, parti Melayu itu telah dirampas oleh golongan tertentu.

"Sehingga kini orang Melayu hanya kenal UMNO sebagai parti Melayu. Bagi mereka tidak ada pilihan jika nak sokong parti Melayu melainkan UMNO.

"Mereka tidak percaya parti berbilang kaum, bahkan parti Islam pun boleh memelihara hak dan keselamatan orang Melayu.

"Malangnya parti UMNO sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka ini hanya berhasrat mengguna UMNO dan orang Melayu untuk jadi kerajaan dan mengguna kuasa kerajaan untuk memperkayakan diri mereka," dakwa Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dalam hantaran terbaharu di blognya hari ini.

Dalam tulisan itu juga, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, negara telah bertukar daripada sebagai ‘Harimau Asia’ kepada kleptokrasi gara gara golongan terbabit.

"Sejak mereka ambil alih UMNO negara bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah.

"Jika UMNO masih disokong maka Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi. Maka akan rosak dan hancurlah negara dan orang Melayu. Inilah sebabnya Parti Pejuang Tanah Air ditubuh," katanya lagi.

Pejuang, jelas beliau, merupakan parti yang ditubuhkan untuk mendokong perjuangan UMNO dahulu dalam memerdekakan serta membangunkan Malayisa.

"(Pejuang) Ia adalah parti Melayu/ Bumiputera seperti UMNO. Jika orang Melayu tidak sanggup beri undi kepada UMNO kerana sudah menyeleweng dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum, maka Pejuang boleh dijadikan pilihan.

"Bukan sahaja Pejuang parti Melayu tetapi ia mendokong semua prinsip dan perjuangan UMNO dahulu yang melawan Malayan Union yang memerdekakan Malaya, dan membangun negara sehingga dikenali sebagai Asian Tiger.

"Selain dari itu, Pejuang menentang rasuah, jenayah kewangan dan salah guna kuasa. Kepimpinan Pejuang terdiri daripada bekas pemimpin UMNO yang telah berjaya bangunkan Malaysia," kata Dr Mahathir lagi.

Malah pemimpin dalam Pejuang, jelas Dr Mahathir, akan melatih semua pemimpin parti itu supaya memegang kuat prinsip perjuangan UMNO dahulu iaitu khidmat bangsa, negara dan agama dan bukannya untuk diri sendiri.

"Calon-calon Pejuang akan terdiri dari mereka yang tidak terlibat dengan rasuah yang utamakan bangsa, negara dan agama.

"Kita sedar adanya orang bukan Melayu dalam negara kita. Kerajaan yang kita dirikan akan dianggotai juga oleh bukan Melayu yang menolak rasuah dan percaya kepada kerjasama antara kaum dan agihan kekayaan secara adil antara kaum-kaum di Malaysia.

"Dengan adanya Parti Pejuang Tanah Air yang disertai oleh orang Melayu dan Bumiputera maka orang Melayu dan Bumiputera yang tidak sanggup sokong UMNO kerana korupsi dan jenayah mereka, dapatlah mereka sokong Pejuang, sebuah parti Melayu yang bersih dan cinta kepada bangsa, negara dan agama,” tulis beliau lagi.