Tugas merancang pengeluaran generasi terbaru MX-5 bukanlah mudah, terutamanya bila Mazda secara khusus mahu hasilnya lebih menepati falsafah asal kereta tersebut. Di sini, kita diingatkan dengan terma Jepun ‘Jinba Ittai’, yang merujuk kepada seorang penunggang yang bersatu dengan kudanya sambil memanah. Dalam erti kata lain, pemanah yang baik hanya akan membidik sasarannya dengan tepat jika dia serasi dengan pergerakkan kudanya.

Bagi model MX-5, semua ini semakin luput untuk menepati peraturan-peraturan baru yang menjadikan kereta semakin berat dan besar; satu keadaan yang menyekat pengendalian dan kelincahan positif.

Tetapi Mazda MX-5 generasi ke-4 (setakat ini semua maklumat adalah untuk spesifikasi JDM) direka khusus untuk mengembalikan keseronokkan memandu, seperti yang telah dibuktikan oleh MX-5 pertama. Dan objektif ini juga selari dengan teknologi Skyaktiv oleh Mazda, yang mementingkan pengurangan berat kenderaan dan prestasi yang optimum. Di samping itu, falsafah rekaan Kodo mereka juga digunakan dengan efektif untuk mendapatkan rekaan akhir MX-5 baru ini yang menarik.


Secara ringkasnya, ini adalah MX-5 yang paling kecil berbanding sebelumnya, dan dengan berat yang kurang sehingga 100kg berbanding dengan generasi sebelumnya.


Berikut adalah antara ciri-ciri yang telah digunakan Mazda untuk mendapatkan MX-5 sepertimana yang mereka kehendaki:

Enjin ditolak jauh ke dalam untuk mendapatkan nisbah berat depan:belakang pada 50:50. Pacuan roda belakang (RWD) dikekalkan
Berat bumbung dikurangkan. Ini merendahkan lagi titik graviti
Kedudukan pendikit, stereng, meter dan segala kelengkapan adalah yang terbaik bagi memberi pemandu keselesaan dan kedudukan yang tidak memenatkan
Enjin direct-injection Skyaktiv-G (petrol) ditala khusus untuk model ini dan dipasang secara memanjang di bawah bonet
Transmisi manual dan automatik 6-kelajuan juga ditala khas untuk MX-5.
Suspensi digunakan adalah double-wishbone (hadapan) dan multi-link (belakang); ia ringan dan kukuh, menepati teknologi Skyaktiv
Penggunaan antara muka pemandu-kereta generasi terbaru (Mazda Connect/MZD Connect) yang menyambungkan pemandu ke kereta dan dunia luar


Penjelasan Mazda mengenai MX-5 generasi ke-4 tidak banyak melampaui apa yang ditulis di sini, termasuk maklumat khusus mengenai enjin yang digunakan. Buat masa ini, enjin Skyaktiv-G yang ada adalah dengan kapasiti 1.3L, 1.5L, 2.0L dan 2.5L. (Di Malaysia, enjin Skyaktiv hanya ada dalam bentuk 2.0L dan 2.5L).

Faktor berat menjadikan jenis 2.5L kurang sesuai, manakala 1.3L kurang menyengat. Jadi mungkin 1.5L dan 2.0L. Masalahnya, jika melihat (dan mendengar) video ini, whoosh turbo seakan ada. Jadi mungkinkah MX-5 akan dilengkapakan dengan enjin Skyaktiv pertama yang mendapat pengecas turbo? Mengapa tidak?