TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersedia sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, bagaimanapun ketika ini belum ada sebarang ketetapan berkaitan cadangan untuk melaksanakan semula GST.

"Pelaksanaan GST bergantung kepada kerajaan dan pihak kami sentiasa bersedia. Sekiranya kerajaan kata okey, kita sentiasa bersedia.

"Apapun semuanya bergantung kepada kerajaan termasuklah kadar atau peratus yang bakal ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Program Khidmat Bakti Bersama 200 Masyarakat Siam di Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas mengenai kegiatan penyeludupan pada musim banjir khususnya di sempadan Malaysia-Thailand, beliau mengakui ia masih berlaku dan penguatkuasaan sentiasa dipertingkat.

"Namun begitu, JKDM Kelantan telah berjaya membuat kutipan cukai sebanyak RM204.91 juta pada 2022 berbanding RM91.93 pada 2021.

"Ia satu kejayaan yang membanggakan dalam menambah pungutan hasil kepada kerajaan," katanya. - BERNAMA