KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 5.83 juta batang rokok putih bernilai RM4.5 juta termasuk cukai dalam tiga operasi berasingan antara akhir bulan lepas dan Khamis lalu.

Pengarahnya Mohd Nasir Deraman berkata rokok itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri ini.

Beliau berkata rampasan dilakukan di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas pada 28 Mac, Kampung Keluat di Bachok pada 10 April dan Pantai Mek Mas, Kota Bharu pada 14 April.

"Dalam kesemua operasi tersebut, sebanyak 583 peti mengandungi 5,836,800 batang rokok seludup dirampas dengan nilai keseluruhan RM633,432 dan melibatkan cukai berjumlah RM3,915,631," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Mohd Nasir berkata modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk rokok seludup melalui Sungai Golok di sempadan negara sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan pemilik rokok seludup berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA