SONGKHLA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperketat kawalan di pintu sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ganja termasuk produk mempunyai bahan terlarang ke Malaysia.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam Suhaila Mohamad Noor berkata pihaknya akan mengetatkan pemeriksaan ke atas kenderaan dan penumpang yang merentas sempadan untuk memastikan tiada bahan terlarang dapat dibawa masuk ke Malaysia.

"Kita akan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa ganja merupakan bahan terlarang di Malaysia dan ia tidak boleh dibawa masuk walaupun Thailand telah menghapuskannya daripada senarai narkotiknya," katanya kepada pemberita.

Pada Jumaat, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Kastam Thailand, Tawal Rodjit di Sadao, Songkhla untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam usaha membanteras dadah.

Ia merupakan mesyuarat pertama mengenai usaha membanteras penyeludupan dadah antara kedua-dua agensi sejak pembukaan semula pintu sempadan negara.

Thailand, negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Bermula 9 Jun, Thailand mengeluarkan bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan ganja (kecuali bunga dan perbungaan) daripada senarai narkotik terkawal kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979, supaya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, penggunaan marijuana yang juga dikenali sebagai ganja dan kanabis, secara rekreasi masih diharamkan.

-- BERNAMA