KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini siap siaga untuk menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana banjir berikutan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan hujan lebat di beberapa negeri.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun telah mengarahkan agar lapan Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) JKM bersedia dengan memastikan barangan bantuan keperluan asas bencana dan keperluan tambahan sentiasa mencukupi.

"Beliau juga menekankan bahawa persediaan ini penting supaya tidak berlaku sebarang kelewatan dalam usaha membantu mangsa bencana yang berada dalam kesusahan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Rina telah membuat tinjauan dan pemantauan kesiapsiagaan DSKB JKM bagi Zon Tengah di Sungai Buloh hari ini.

JKM juga diarah membuat perolehan segera bagi menggantikan semula bekalan keperluan asas dan keperluan tambahan bencana memandangkan sebahagian besar stok di DSKB Sungai Buloh telah digunakan semasa bencana baru-baru ini.

KPWKM memaklumkan terdapat lapan DSKB di negara ini iaitu di Kedah, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah selain 165 stor bencana negeri serta depoh mini dan 521 Stor Pangkalan Hadapan.

Menurut kenyataan itu, KPWKM menerusi JKM bersedia menambah sebanyak 500 PPS baharu di seluruh negara seiring keperluan pengurusan mangsa bencana yang lebih efektif serta sebagai tambahan kepada 5,809 PPS sedia ada yang mampu menempatkan 1.7 juta mangsa.

"Kementerian juga sedang mengenal pasti PPS bersesuaian untuk dijadikan Pangkalan Hadapan yang berfungsi sebagai stor dalam komuniti bagi menyimpan barangan asas untuk mempercepat proses agihan bantuan kepada mangsa bencana.

"Dalam hubungan ini, sebanyak 200 lagi Pangkalan Hadapan baharu ditubuhkan khususnya di negeri Selangor dan Johor," menurut kenyataan itu.

Sehingga hari ini, terdapat 95 PPS yang masih beroperasi di enam negeri di seluruh negara yang menempatkan sebanyak 3,830 keluarga dan 12,758 mangsa bencana banjir dan tanah runtuh.

KPWKM juga telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Sosial yang ditubuhkan di bawah Pasukan Petugas Khas Operasi dan Pasca Banjir bagi membantu mengembalikan semangat dan memberikan sokongan psikososial kepada mangsa yang terkesan akibat bencana itu.

-- BERNAMA