Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada Khamis menafikan terdapat kes jangkitan COVID-19 di Bandar Seri Alam di sini seperti yang tular dI laman sosial Facebook.

Pengarah JKNJ Dr Aman Rabu, menerusi satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook JKNJ, memaklumkan bahawa terdapat satu kenyataan tular yang memaparkan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah terhadap seorang kontak pesakit COVID-19.

"JKNJ ingin memaklumkan bahawa berita itu adalah tidak benar sama sekali. Orang awam diminta supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih ini kerana ia akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata dalam pengurusan jangkitan COVID-19, jika seseorang yang berhubung rapat dengan pesakit dan tidak mempunyai gejala, ia dikategorikan sebagai kontak dan bukan pesakit, serta perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di kediaman mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya penyebar berita palsu seperti itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, dan boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Melalui mesej yang tular di akaun Facebook itu, seorang individu mendakwa terdapat mangsa COVID-19, iaitu seorang kanak-kanak lelaki, di Bandar Seri Alam yang telah menerima surat perintah kuarantin di rumah.

-- BERNAMA