JKNNS terima dua berita tular mengenai COVID-19

Bernama
Mac 5, 2020 22:41 MYT
Orang ramai diminta berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kebimbangan awam. - Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) menjelaskan bahawa kes tujuh anggota kesihatan di Klinik Kesihatan Mantin, Nilai yang dikatakan positif COVID-19 sepertimana tular di aplikasi WhatsApp pada Khamis, masih dalam siasatan.
Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata pihaknya juga menerima satu lagi berita tular berhubung seorang kanak-kanak di daerah Port Dickson, yang turut dikatakan positif COVID-19.
"Kanak-kanak itu merupakan kontak kepada seorang pesakit dalam siasatan (PUI) yang telah disahkan negatif COVID-19 melalui ujian makmal," menurutnya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
-- BERNAMA
#anggota kesihatan #COVID-19 #jabatan kesihatan #Kanak-kanak #kebimbangan awam #Klinik Kesihatan Mantin #kontak #koronavirus #Mohammad Faid Abd Rashid #Negeri Sembilan #pesakit dalam siasatan #Port Dickson #siasatan #WhatsApp