KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memberi jaminan bahawa kesemua vaksin COVID-19 (Comirnaty) keluaran Pfizer adalah berkualiti, selamat dan berkesan untuk digunakan kepada orang awam.

Sambil menyangkal video yang tular mengenai pemberian vaksin melepasi tarikh luput, Pengarah JKNS, Dr Ooi Choo Huck berkata, tempoh tiga bulan telah ditambah dari tarikh asal yang dicetak pada lebel bebuli vaksin yang disimpan pada suhu -90 darjah celcius sehingga -60 darjah celcius.

Beliau menjelaskan Pfizer dengan nombor kelompok FK9414 telah diberi kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi pelanjutan tempoh jangka hayat daripada enam kepada sembilan bulan.

“Cetakan tarikh luput bernombor kelompok FK9414 adalah 02/2022. Tarikh luput asal adalah pada 28 Februari 2022, dan tarikh luput baharu adalah pada 31 Mei 2022, maka vaksin tersebut adalah selamat digunakan sehingga 31 Mei 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Choo Huck penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan oleh pihak pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan yang tertentu.

"Vaksin COVID-19 telah dibangunkan dalam jangka masa yang singkat (kurang dari dua tahun) sebagai tindak balas kepada wabak tersebut berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal.

"Oleh itu, tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad. Pihak pengilang hanya dibenarkan untuk meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi,” katanya.

Katanya, tempoh jangka hayat produk vaksin COVID-19 juga akan berubah sekiranya terdapat perubahan pada suhu penyimpanan.

"Oleh demikian, tarikh luput baharu akan diberikan kepada produk tersebut. Produk masih selamat untuk diadministrasi selagi mana ia belum melangkaui tarikh luput baharu tersebut,” katanya.

Orang awam bolehlah melayari laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) https://www.npra.gov.my berkenaan informasi nombor kelompok yang terlibat (Consumers > Vaccine Lot Release: Lot Release Certificate).