KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyasarkan pemberian 60,000 dos suntikan vaksin COVID-19 sehari kepada penduduk negeri ini sepanjang September.

Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah Berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, ini antara inisiatif dalam mempercepatkan kadar vaksinasi di negeri berkenaan.

‘’Hampir 41 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin COVID-19 setakat ini.

‘’Sasaran jumlah purata pemberian vaksin sehari bagi bulan September ialah 60,000 dos dan Sabah berharap akan memperoleh agihan 2,889,150 dos vaksin bagi bulan September bagi membolehkan JKNS mempertingkatkan kadar vaksinasi kepada penduduk dalam bulan ini,’’ katanya.

Pada masa sama, Sabah hari ini mencatatkan pertambahan 2,329 kes positif COVID-19 dengan Kota Kinabalu menyumbang 458 kes.

Enam daerah lain di negeri itu turut mencatatkan kes tiga angka termasuk Penampang (181), Papar (168), Tuaran (149), Tawau (127), Keningau (115) dan Kota Marudu (106).

‘’Saringan kontak rapat kekal menyumbang angka tertinggi dengan 1,379 atau 59.2 peratus manakala 658 kes atau 28.3 peratus dikesan daripada saringan individu bergejala dan 82 kes daripada kluster sedia ada.

‘’Selain itu, 2,228 merupakan kes kategori satu dan dua, sembilan kes kategori tiga, empat kes kategori empat dan 13 kes kategori lima,’’ tambahnya.

Antara lain, 2,329 merupakan kes daftar lewat (backlog) dua ke tiga hari, 132 kes daftar lewat empat ke lima hari dan 219 kes didafatr lewat melebihi lima hari selepas keputusan ujian diketahui.