KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial  mengesyorkan agar Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dikaji semula dan dinaik taraf penguatkuasaannya.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebagai penambahbaikan kepada akta tersebut, JKPK telah mewujudkan 'roadmap' bagi hala tuju lima tahun hasil lawatan mereka ke United Kingdom (UK) beberapa bulan lalu

"(Naik taraf akta) pengkhususan dipertingkatkan dalam perundangan kes kanak-kanak, siasatan yang berkesan dan sensitif terhadap kanak-kanak, jenayah terhadap kanak-kanak, peningkatan akses kepada sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak sepanjang proses keadilan jenayah.

"Selain itu, prosiding perbicaraan disesuaikan untuk mengurangkan kesusahan dan membantu kanak-kanak untuk memberikan bukti bagi pihak diri mereka," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ahli Jawatankuasa JKPK iaitu Fuziah Salleh (PH-Kuantan); Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai); Hannah Yeoh (PH-Segambut); serta Che Alias Hamid (Pas-Kemaman).

Mengulas lanjut, Azalina (BN-Pengerang) berkata, JKPK turut membentangkan kepada Ahli-Ahli Parlimen berhubung laporan hasil 11 mesyuarat sejak penubuhan jawatankuasa tersebut, dua tahun lalu.

Menerusi laporan tersebut, beliau berkata, isu yang dibangkitkan adalah membabitkan kes-kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan, dan agensi berkaitan.

"JKPK juga turut menimbulkan hal berkaitan kanak-kanak tanpa dokumen dalam tahanan, peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak, peningkatan kes keganasan rumah tangga dan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual serta RUU Antimengendap," ujarnya,

Dalam masa sama, Azalina berkata, JKPK turut menekankan agar penyelarasan antara agensi dan sistem pengurusan maklumat diperkukuhkan dalam melindungi mangsa dan saksi kanak-kanak.