KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar menzahirkan kekecewaan terhadap gangguan parti politik kepada entiti media, yang beliau anggap sepatutnya tidak lagi berlaku pada zaman ini.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, serta bekas Pengerusi Media Prima itu berkata, masa sudah berubah, begitu juga dengan dinamika perniagaan media.

Dalam satu kenyataan hari ini, Johan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berulang kali menyatakan jaminan beliau bahawa media perlu kekal bebas dari sebarang gangguan politik.

Johan berkata, beberapa peristiwa, seperti laporan media bahawa Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times, Ahmad Lokman Mansor akan digantikan, dan bekas Ketua Editor The Edge, Azam Aris sedang dikenakan saman fitnah, menunjukkan aspirasi Perdana Menteri itu tidak dihayati sepenuhnya.

Johan berkata, beliau sentiasa menyokong keputusan Ahmad Lokman untuk terus tegas dengan prinsip menolak gangguan politik, sehingga menjadikan NST lebih diterima hari ini.

Selain itu beliau berkata, Azam tidak patut dikenakan saman fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, kerana dua artikel yang dimaksudkan dalam saman itu pada tahun 2020 dan 2021, hanya melaporkan situasi yang adil tentang dakwaan manipulasi stok saham.

Johan berkata, perniagaan media adalah perniagaan untuk pengamal media, dan mereka perlu diberi kebebasan untuk beroperasi dengan bebas dan adil.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk memperkukuh komitmen kewartawanan bagi memastikan media kekal menyokong keutuhan demokrasi.