Kerajaan Negeri Johor akan mengagihkan kira-kira 3.5 juta topeng muka yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan kepada semua ketua isi rumah di negeri ini secepat mungkin, dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata pengagihan empat penutup mulut dan hidung untuk setiap isi rumah akan dilakukan berdasarkan rekod data penduduk yang dibekalkan oleh Jabatan Perangkaan.

"Untuk permulaan, keutamaan agihan adalah di kawasan yang berisiko tinggi di setiap daerah dan pengagihan akan dilakukan secepat mungkin oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ketua-ketua kampung dan ketua-ketua masyarakat di daerah masing-masing secara berperingkat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Vidyananthan juga berkata, 97 stesen kuarantin telah diwartakan di negeri ini sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 31 daripadanya sudah beroperasi.

Mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini, beliau berkata ia mencatat sedikit peningkatan iaitu 96.98 peratus pada semalam berbanding 96.51 peratus pada sehari sebelumnya.

-- BERNAMA