JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan mencari kaedah terbaik bagi menangani isu lebih 70,000 unit rumah tidak terjual, tidak diduduki atau terbiar di sekitar bandar raya ini, menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Menurutnya antara faktor permasalahan itu adalah dasar dan syarat baharu pemilikan rumah seperti Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Sehubungan itu, beliau berkata, antara usaha yang akan dilakukan adalah bekerjasama dengan syarikat hartanah yang terlibat dan memperkenalkan program penyewaan kepada generasi muda.

"Kita akan berbincang dan bekerjasama dengan ejen hartanah yang mempunyai rekod tentang unit (rumah yang) sudah siap dan tidak terjual, jenis-jenis unit dan kadar sewa yang sesuai.

"Di bandar raya Johor Bahru, lebih 70,000 unit rumah yang tidak terjual, belum diduduki dan mungkin sudah dijual, tetapi tidak diduduki, ditinggalkan sepenuhnya oleh pemilik. Kita tidak boleh berada dalam keadaan sebegini jika mahu menjadi bandar raya yang dinamik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Kos Sederhana Rendah dan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), Taman Setia Indah di Pusat Komuniti Taman Ekoflora, di sini hari ini.

Mengenai Belanjawan Johor 2022, Hasni berkata golongan B40 dan M40 serta golongan belia yang sukar mendapat pekerjaan adalah antara isu yang akan diberi tumpuan ketika pembentangan belanjawan yang dijadualkan pada 25 November ini.

Menurutnya pendekatan bersifat mengembang perlu diguna pakai bagi memulihkan kembali sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, belanjawan itu akan mencari penyelesaian untuk membantu kumpulan yang menjalankan perniagaan secara dalam talian di rumah.

"Ramai yang berminat untuk membuat perniagaan dalam talian sebagai kaedah menambah pendapatan mereka dalam keadaan pandemik COVID-19. Hakikatnya, ekonomi belum pulih sepenuhnya. Kerajaan perlu membantu," katanya.

-- BERNAMA