BATU PAHAT: Johor menjadi lokasi pertama siri jelajah Program RIUH-Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang akan bermula bulan depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata program bertujuan mempromosi dan memartabat industri kreatif tempatan itu diluluskan di Dewan Rakyat tahun lepas melibatkan kos sebanyak RM20 juta menerusi Bajet 2022.

"Kementerian akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk swasta dan siaran sepenuhnya oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia akan dibuat secara roadshow dan juga secara tetap di ibu negara iaitu di River of Life (RoL), Kuala Lumpur.

"Di Johor kita telah terima beberapa cadangan lokasi iaitu di sekitar Johor tengah, namun saya perlu merujuk kepada Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan PascaBanjir di Dewan Komuniti Ayer Hitam di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai Komuniti Keluarga Malaysia, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata Jemaah Menteri pada Rabu lepas telah meluluskan penubuhan 1,800 komuniti Keluarga Malaysia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen seluruh negara.

Beliau berkata sekurang-kurangnya tiga Komuniti Keluarga Malaysia ditubuhkan di setiap DUN dan dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam portfolio komunikasi.

Annuar berkata di peringkat Parlimen, kementerian akan melantik masing-masing seorang pengerusi dan timbalan yang membuat penyelarasan bagi pelaksanaan program di bawah Komuniti Keluarga Malaysia.

Katanya, sebanyak 36,000 ahli komuniti akan terlibat dalam pelantikan itu bagi menggerakkan kegiatan komuniti berlandaskan tiga fokus utama iaitu pertama menyampaikan maklumat kerajaan kepada komuniti serta mengutip maklum balas rakyat untuk disampaikan kepada kerajaan.

"Fokus kedua pula ialah memberikan kefahaman kepada komuniti dasar kerajaan dan juga meningkatkan semangat patriotisme serta kenegaraan.

"Manakala ketiga untuk galakan secara besar-besaran pembudayaan ekonomi digital sebagai cara baharu untuk memodenkan rakyat di peringkat akar umbi melalui program dan aktiviti komersial yang menggunakan platform digital," katanya.

-- BERNAMA