ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan kerajaan Persekutuan sebanyak RM168 juta menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membaiki kerosakan jalan dan infrastruktur awam akibat bencana banjir setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata untuk kerosakan biasa, kerajaan negeri telahpun memulakan proses pembaikan, namun tidak mencukupi, justeru, memerlukan peruntukan tambahan susulan banyak kawasan terjejas banjir.

"Itu setakat dua minggu lepas. Sekarang bila banjir sudah surut, kita akan lakukan sekali lagi penilaian terhadap jalan-jalan yang rosak cuma pihak JKR mengambil sedikit masa..

"...sebab masih ada air walaupun di permukaan sudah surut dan kering tetapi masih ada lagi air di bawah tanah yang mengganggu struktur tanah itu sendiri (yang menghalang proses pembaikan diteruskan)," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Antara isu besar yang sedang dihadapi JKR ialah berkaitan tanah dan jambatan runtuh sebab kerja-kerja tidak boleh dilakukan dalam masa tempoh yang segera, tapi memerlukan satu kajian teknikal dan lebih teliti, katanya.

"Kemudian kaedah pembaikannya mungkin mengambil masa tujuh bulan. Itu bergantung kepada kajian teknikal, kedua peruntukan dan pemilihan kontraktor yang bersesuaian

"Sebab bila banyak kejadian berlaku serentak, sumber mungkin tak cukup, jadi insya-Allah kita harap pihak JKR dan kontraktor akan guna sumber dari luar untuk membantu membaiki jalan-jalan di seluruh Johor," kata Mohamad Fazli.

Beliau menambah kawasan tanah runtuh yang dimaksudkan termasuk Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram dan Felda Chempelak, Labis, di Segamat serta pembetung yang pecah di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

Selain itu, katanya, di peringkat pihak berkuasa tempatan, sebanyak RM12.1 juta diperlukan bagi mengatasi isu tanah runtuh dan cerun runtuh di 36 lokasi yang telah dikenal pasti.

Persidangan DUN Johor bersambung esok.

-- BERNAMA